Hati yang beriman
Bismillahirrahmanirrahim...
Assalammu'alaikum
Hari ini 7 Ramadhan 1437H bersamaan dengan hari Ahad 12 Jun 2016. Alhamdulillah sudah seminggu kita menjalani ibadah puasa, sudah seminggu kita cuba beramal dengan sebaik - baiknya dan sudah seminggu juga berlalu meninggalkan kita kiranya kita masih lagi lalai dan alpa dengan kehidupan yang serba memenatkan tanpa pulangan pahala seperti yang telah Allah janjikan kepada hamba - hambaNYA yang beriman lagi bertaqwa.
Bila membicarakan bab Iman, kita tertanya - tanya di manakah letaknya iman di dalam diri kita, apakah di mata yang melihat atau di mulut yang berbicara, apakah iman itu dapat dilihat atau bagaimana agaknya yang dikatakan Iman dan beriman itu, mari kita rujuk petikan dibawah ini.
مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَت فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلا وَهيَ القَلْبُ.“ رواه البخاري ومسلم.
“Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segump daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Hati yang dimaksudkan itu adalah jantung dalam bahasa kita atau dalam bahasa inggeris -nya yang kita panggil "heart" merupakan organ terpenting dalam kehidupan kita selain organ - organ sampingan lainnya. Tanpa jantung, aliran darah yang membawa oksigen dan pembersihan karbon dioksida ke seluruh tubuh akan terhenti menyebabkan seluruh organ lain tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna. Boleh baca di sini
Lalu bagaimana hubungkait antara segumpal daging, iman dan jantung/"hati" itu terbentuk?
Organ jantung adalah antara organ dalaman pertama yang dicipta Allah ketika janin berusia 1 bulan di dalam perut ibunya selain dari tulang belakang dan saraf, organ luaran mata, hidung, dan lain - lainnya. Degupan jantung si anak menandakan ada nyawa di dalam rahim seorang ibu dan dari degupan pertama itu bermulalah kisah perjalanan sebuah kehidupan seorang manusia. (Baca seterusnya di sini)
Segumpal daging atau jantung/"hati" yang berdenyut setiap detik itu boleh dirasai oleh sang pemiliknya, tempat terhimpun segala rasa dan sifatnya yang sentiasa berbolak balik. Iman seseorang muslim itu terletak di hatinya kerana hati adalah raja yang mengawal pergerakan dan tingkah laku seorang manusia. Hati sangat sensitif dan perasa, mudah terguris dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Hati perlu diberi makanan yang terbaik iaitu zikrullah agar sentiasa mengingati sang Pencipta. Hati perlu dididik agar ter-arah kepada kebaikan dan keikhlasan dan menjauhi sifat - sifat mazmumah, dendam kesumat, dengki, iri dan perkara - perkara yang memudharatkan tubuh kita.
Hati yang beriman memancarkan nur pada wajah seorang muslim. Ketenangan jelas kelihatan dari senyuman dan perlakuannya. Kesabaran dan ketabahan seorang yang beriman dapat dilihat dalam cara beliau menghadapi dugaan kehidupan. Wajah yang dilimpahi nur iman membuatkan siapa sahaja yang memandang rasa tenang dan gembira.
Maka hati yang beriman akan mempengaruhi tingkah laku seorang manusia. Seorang yang mengaku Islam belum tentu beriman tetapi seorang yang mempunyai hati yang beriman sudah semestinya seorang muslim. Jagalah hati kita supaya sentiasa beriman.
Wallahu'alam.


